Ilyani Dakroh Ilyani Dakroh: Madah seorang Muslimah

Saturday, February 2, 2013

Madah seorang Muslimah


 
  
Aku bukanlah seorang gadis yang cerewet dalam memilih pasangan hidup. Siapalah diriku ini untuk memilih berlian sedangkan aku hanyalah sebutir pasir yang wujud di mana-mana. Tetapi, aku juga  punyai keinginan seperti gadis lain dilamar lelaki yang bakal dinobat sebagai ahli syurga, memimpin tanganku ke arah jalan yang diredhai Allah Taala, yang dapat bersamaku saat susah dan senang, dalam memikul amanah di dalam rumahtangga dengan penuh ketenangan, kasih sayang dan rahmat Ilahi agar menjadi keluarga bahagia lagi diberkati Allah di dunia dan di akhirat.


Tidak perlu kau memiliki wajah seindah Nabi Yusuf a.s. yang mampu mendebarkan jutaan gadis tetapi andainya kaulah jodohku yang tertulis di Luh Mahfuz, Allah pasti akan mencampakkan rasa kasih di dalam hatiku, jua hatimu, kali pertama kita perpandangan. Itu janji Allah kerana Allahlah tempat kita bergantung harap dan berdoa.  Akan tetapi selagi kita tidak diikat dengan ikatan pernikahan selagi itu jangan kau zahirkan perasaan itu kepadaku, kerana kau masih tidak mempunyai hak untuk berbuat begitu. Juga jangan kau lampaui batasan yang telah ditetapkan syara’. Aku takut perlakuan itu akan memberi impak yang tidak baik dalam kehidupan kita kelak.

Permintaanku tidak banyak, cukuplah dirimu yang diinfaqkan seluruhnya pada mencari redha Ilahi. Aku akan merasa amat bertuah dan bersyukur andai dapat menjadi tiang seri dirimu atau sandaran perjuanganmu. Bahkan aku amat bersyukur pada Ilahi, kiranya akulah yang ditakdirkan meniup semangat juangmu, menghulurkan tanganku untukmu berpaut sewaktu rebah atau tersungkur dimedan yang dijanjikan Allah dengan kemenangan atau syahid atas perjuanganmu. Akan ku sokong segala kebaikan yang kamu lakukan itu demi raih syurga Ilahi.

Aku hanyalah gadis biasa tetapi aku yakin seandainya kau serahkan seluruh cintamu kepada Allah, tentunya ada juga secebis cintamu untukku kerana Allah. Dengan kau mencintai Allah dengan sepenuh hatimu maka akan terpercik cintamu kepadaNya dalam diriku jua. Maka beruntunglah aku kerana kerana cintaNya kita bakal menjalin kasih bahagia. Cinta itu lebih abadi daripada cinta insan biasa. Moga cinta itu juga yang akan mempertemukan kita kembali disyurga.

Aku juga tidak ingin dilimpahi kemewahan dunia. Cukuplah dengan kesenangan yang telah diberikan ibu bapaku kepadaku. Apa guna kau menimbun harta untuk kemudahanku sekiranya harta itu membuatkan aku dan kau lupa tanggungjawapmu. Cukuplah sekadarnya agar kita merasa bahagia dan aman untuk kehidupan yang baik di dunia fana ini. Biarlah kita hidup dibawah jaminan Allah sepenuhnya dengan meletakkan Allah yang utama dalam kehidupan menuju syurgaNya, In shaa-Allah.

Proposal tanggungjawab kita

Kerana cinta kepadaNya kita bakal bertemu
untuk sama meraih redha dan keberkatan dalam rumahtangga kita
bersama mengemudi rumahtangga dengan memahami peranan dan tanggungjawab kita, yakni
sebagai hamba kepada Allah Taala, Tuhan yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu,
sebagai khalifah muka bumi, Amar maaruf Nahi mungkar walau dimana kita berada,
sebagai anak kepada kedua orang tua kita, tunaikan hak mereka dengan sebaiknya,.
sebagai suami dan isteri, yang perlu sentiasa berkomunikasi dengan baik dan bertolak ansur,
dan sebagai ibu dan ayah buat anak-anak kita kelak, mendidik mereka menjadi anak yang soleh dan solehah. =)

Kita sudah dewasa untuk berfikir dengan lebih matang untuk sama-sama membina keluarga sakinah,mawaddah wa rahmah, demi menuju ke syurga Ilahi.
Bimbinglah daku, nasihatilah daku bilaku alpa dan leka kerana kita sebagai hambaNya punya kelemahan dan kekurangan. Terimalah diri ini apa adanya, wahai bakal suamiku. =)
Buat diriku dan semua bakal isteri solehah
Itu impian kita sebagai muslimah
Biarpun kita bukanlah ustazah atau srikandi agung, tapi kita mesti mempunyai cita-cita untuk menjadi lebih baik seperti mereka, penuh ilmu didada dan semangat juang yang tidak pernah luntur.
Inshaa-Allah semoga Allah permudahkan urusan kita. =)
Kerana kita juga bakal mendidik anak-anak kita kelak dengan
Ilmu mengenal Tuhan Pencipta dan menghiasi diri mereka dengan akhlak mulia seperti Rasulullah s.a.w.
berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah, itu pegangan dan panduan kita semua.

Tugas seorang ibu bukanlah mudah dan ia perlukan sokongan dari sang suami agar dapat membimbing diri anak-anak tatkala salah mencengcam minda.
Mari sama-sama menyemai bahagia dijiwa dan diminda dengan bersikap positif dan yakin pada diri
agar usaha murni berterusan hingga mencambahkan hasil yang baik.
Semoga ini bukanlah sekadar kata tapi punya perancangan jelas lagi nyata.

"Letakkan dunia ditangan dan akhirat pula dihati, In shaa-Allah Allah sentiasa disisi"

0 comments:

Post a Comment